Sumber daripada: http://arnamee.blogspot.com/2012/07/popularkan-blog-tips-seo-cara-letak.html#ixzz2Oiv3Uwqy

Monday 11 March 2013

SAKIT MENTAL

Kira-kira 450 juta orang di seluruh dunia mengalami gangguan mental tertentu seperti kemurungan, skizofrenia dan gangguan bipolar tetapi kurang separuh daripada mereka menerima rawatan yang diperlukan, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

WHO menganggarkan bahawa menjelang 2020, penyakit mental kemungkinan mewakili 15 peratus daripada penyakit global.

Gangguan kesihatan mental adalah lebih lazim daripada apa yang anda fikirkan. Tahun lepas sahaja 400,227 pesakit di Malaysia mendapatkan bantuan psikiatri di hospital-hospital kerajaan, satu peningkatan sebanyak 15.6 peratus berbanding 346,196 pesakit pada 2007.

Tinjauan Kesihatan Kebangsaan dan Morbiditi Ketiga pada 2006 menunjukkan masalah kesihatan mental di kalangan remaja semakin meningkat.

Kaum hawa lebih cenderung menghadapi masalah kesihatan mental dengan peratusan mereka yang terbabit mencatatkan 12.1 peratus berbanding 10.4 peratus bagi lelaki.

Lima daripada 10 punca utama kecacatan adalah berkaitan dengan penyakit mental. Kemurungan dijangka menjadi punca utama kedua kecacatan menjelang 2020.

KURANG DIAGNOSIS

Walaupun ia masalah biasa dan serius, penyakit mental masih tidak diterima dengan meluas sebagai masalah kesihatan yang kritikal dan seringkali tidak didiagnosis dengan lengkap oleh para pakar penjagaan kesihatan.

Presiden Persekutuan ASEAN bagi Psikiatri dan Kesihatan Mental (AFPMH), Professor Dr Mohamad Hussain Habil beranggapan ini sebahagian besarnya berpunca kerana dua faktor.

Pertama kurangnya pengetahuan atau persefahaman dalam mendiagnosis atau merawat penyakit itu sementara faktor kedua berkaitan langsung dengan pandangan serong ataupun stigma akibat gangguan mental yang turut membabitkan kalangan pengamal perubatan.

Pengesanan awal penyakit ini dalam masyarakat oleh pakar-pakar perubatan boleh membawa pelbagai manfaat berkaitan dengan kos dan produktiviti, dan dalam kes-kes tertentu menghalang masalah itu daripada menjadi masalah kesihatan yang besar.

Menurut laporan Majlis Penasihat Kebangsaan Kesihatan Mental, hasil daripada rawatan bagi mereka dengan penyakit mental paling serius boleh dibandingkan dengan rawatan bagi penyakit kronik lain.

Kadar kejayaan rawatan awal bagi penyakit mental adalah 60-80 peratus, melampaui kadar kejayaan 40 hingga 60 peratus bagi rawatan pembedahan biasa seperti penyakit jantung.

Bagi individu dengan masalah kesihatan mental, ketiadaaan bantuan yang mereka perlukan boleh mencetuskan tekanan sosial dan pemulauan selain menyebabkan bebanan kewangan kerana mereka akan terus mencari nasihat perubatan, selain daripada kehilangan pekerjaan kerana produktiviti yang berkurang.

Keadaan ini juga menjejaskan kualiti kehidupan pesakit dan penjaga mereka. Lebih buruk lagi, kekurangan diagnosis lengkap boleh menyebabkan tragedi khasnya apabila pesakit membunuh diri.

PERANAN PENJAGAAN UTAMA

AFPMH dan Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA) meraikan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2009 pada 9 Okt dengan mensasarkan kepada peranan penting pakar-pakar perubatan utama dalam mengenalpasti dan merawat gangguan psikiatri.

Tema tahun ini ialah "Kesihatan Mental Dalam Penjagaan Utama; Mempertingkat Rawatan dan Menggalakkan Kesihatan Mental".

Ramai yang tidak akan menimbangkan untuk menemui ahli psikiatri apalagi kebanyakan tidak akan menerima hakikat yang mereka mempunyai masalah kesihatan mental. Dan mereka malu untuk berjumpa dengan pakar kesihatan mental dan seringkali rasa lebih selesa untuk bertemu dengan doktor di kejiranan mereka.

Pakar-pakar penjagaan utama ini berada di barisan hadapan sistem penjagaan kesihatan awam dan lebih mengetahui sejarah kesihatan pesakit mereka. Oleh itu perlu ada kemampuan untuk mengenalpasti simptom selain pengetahuan psikiatri untuk melaksanakan rawatan," kata Profesor Dr Mohamad Hussain semasa satu persidangan berita baru-baru ini.

Profesor Dr Mohamad Hussain, yang juga merupakan Pakar Rawatan Ketagihan dan Perunding Psikiatri di Jabatan Perubatan Psikologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya, berkata pengesanan awal serta diagnosis yang wajar membolehkan pesakit menerima rawatan yang sesuai.

Ia juga mencegah gangguan mental yang lebih buruk lagi dan akhirnya membolehkan pesakit untuk meneruskan kehidupan dengan normal bersama masyarakat semasa menjalani rawatan, katanya.

HANYA TERDAPAT 200 AHLI PSIKIATRI

Professor Dr Mohamad Hussain juga berkata, hanya terdapat lebih kurang 200 ahli psikiatri di Malaysia sedangkan bilangan yang ideal ialah seramai 2000 orang.

"Satu pendekatan bersepadu membabitkan pakar-pakar utama dalam penjagaan kesihatan akan mengurangkan bebanan yang dihadapi oleh ahli psikiatri, dan akan banyak membantu mereka daripada kumpulan berpendapatan rendah untuk mendapatkan rawatan yang mampu.

"Pendekatan ini memastikan bahawa pesakit tidak perlu pergi jauh untuk mendapatkan ubat-ubatan daripada ahli psikiatri, yang banyak mengurangkan beban kepada mereka yang menjaga pesakit mental," katanya.

Pakar-pakar perubatan utama harus sedar yang pesakit psikiatri perlu mendapatkan kaedah rawatan terbaik dengan keutamaan yang sama seperti pesakit jantung, diabetes dan kanser.

Walaupun hakikat kesihatan mental dan fizikal saling berkaitan, masalah mental lebih cenderung dilihat sebagai masalah sosial, katanya.

STIGMA

Stigma yang wujud di kalangan umum dan sehinggakan pakar-pakar penjagaan kesihatan merupakan punca utama kes-kes psikiatri gagal dikesan dan dirawat dari awal lagi.

"Bidang psikiatri telah banyak berkembang. Ubat-ubatan terbaru membolehkan gangguan mental dirawat. Bagaimanapun, ramai yang tidak mahu mendapatkan bantuan profesional kerana beranggapan mereka akan dicemuh sebagai 'gila' ataupun akan didiskriminasi jika didiagnosis dengan gangguan mental," kata Presiden MPA Dr Yen Tech Hoe.

Isu ini diburukkan lagi oleh tanggapan salah di kalangan pakar perubatan iaitu masalah kesihatan mental merupakan komponen kurang penting dalam profesyen perubatan.

Ramai daripada pakar perubatan tidak menyedari yang kebanyakan daripada penyakit psikiatri ini muncul dalam bentuk simptom fizikal dan oleh itu mereka lazimnya merawat simptom ini tanpa pemeriksaan lanjut.

Kesedaran rendah terhadap kesihatan mental dalam konteks penjagaan kesihatan yang lebih luas berpunca kerana kurangnya minat di kalangan pakar perubatan untuk mendapatkan pengetahuan terkini dan kemahiran klinikal dalam psikiatri, kata Dr Yen.

"Apabila para pesakit menunjukkan simptom-simptom psikiatri seperti kelesuan atau kemurungan, tidak dapat menumpukan perhatian atau kehilangan selera, pakar perubatan tidak mengendahkan tanda-tanda ini," tambah Dr Yen.

PENYAKIT MENTAL BOLEH DIRAWAT DENGAN BERKESAN

Penyakit mental juga boleh berlaku seiring dengan penyakit kronik yang lain seperti penyakit jantung, diabetes, kanser dan strok, yang menunjukkan morbiditi signifikan antara gangguan mental dan penyakit yang lain.

Penyelidikan menunjukkan bahawa para pesakit dengan penyakit mental yang teruk berkemungkinan dua kali menghadapi masalah kesihatan lain. Simptom-simptom psikiatri yang tidak dirawat boleh memburukkan lagi keadaan psikiatri dan perubatan dan menyebabkan kesengsaraan selama bertahun-tahun, kata Dr Yen.

Ramai daripada pakar utama percaya ia adalah sukar dan akan mengambil masa yang lama untuk merawat pesakit mental.

"Banyak daripada kes kesihatan mental boleh didiagnosis dan dirawat dengan berkesan di peringkat penjagaan kesihatan. Pengesanan awal serta rawatan boleh membantu mengurangkan masalah itu sementara meningkatkan potensi bagi pemulihan serta produktiviti," katanya.

Dr Yen berkata setiap ringgit yang dibelanjakan untuk merawat penyakit mental, keputusannya adalah lebih baik daripada merawat penyakit lain khasnya dengan terdapatnya kaedah rawatan yang baik.

KHIDMAT KESIHATAN MENTAL YANG BERKESAN

Sementara itu, Profesor Madya Dr Noor Zurani Md Haris Robson dari Jabatan Perubatan Utama, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, berkata komitmen proaktif daripada kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, keluarga, penjaga dan masyarakat perubatan termasuk jururawat serta paramedik berperanan penting dalam memudahkan integrasi penjagaan kesihatan mental dalam aliran utama penjagaan kesihatan.

"Kerajaan harus membangunkan satu rangkakerja yang mendorong keperluan untuk menyatukan penjagaan utama masalah mental. Psikiatri, seperti bidang lain dalam perubatan sentiasa berkembang maju dan oleh itu terdapat keperluan untuk melatih serta mendidik pakar penjagaan utama bagi masalah kesihatan mental.

"Saya percaya terdapat ramai pakar penjagaan kesihatan utama yang berminat merawat pesakit psikiatri dan kita perlu menawarkan kepada mereka peluang untuk mendapatkan kepakaran terbaru dalam bidang psikiatri. Ini boleh dicapai menerusi program pendidikan kesihatan," katanya.

Dr Noor Zurani berkata para doktor dalam bidang penjagaan kesihatan utama berperanan penting dalam merawat penyakit mental seperti kemurungan dan keresahan.

Komunikasi berterusan antara pakar-pakar penjagaan utama dan ahli psikiatri adalah perlu dalam mengelakkan salah faham apabila menyelaraskan rawatan bagi pesakit dengan penyakit mental yang teruk.

Kesejahteraan pesakit harus menjadi pertimbangan utama dan kedua-dua pihak perlu berkongsi maklumat dan saling memahami peranan masing-masing dalam merawat pesakit ini.

No comments:

Post a Comment